Senandung Malam....sila ke blog baru saya...senandungmalam.blogspot.com

Monday, October 02, 2006

Hayati semangat Ramadhan al-mubarak

Sedari atau tidak, masa berlalu begitu pantas, bagai semalam baru kita meninggalkan ramadhan kini Ramadhan al-Mubarak muncul lagi. Munculnya dengan janji benar diatas lidah baginda Nabi s.a.w bahawa ia mengandungi rahmat di permulaannya, pengampunan di pertengahannya dan pembebasan dari api neraka di akhirnya.

Pasti semua kita akan memasang niat yang baik ketika memasuki madrasah Ramadhan, paling tidak harapan, supaya Ramadhan akan menjadikan kita insan yang lebih dekat dengan Rabbul jalil disamping Ramadhan juga akan memastikan kita dapat menempuh jihad hawa nafsu.

Mengimbau kembali lembaran sejarah, membuat sanubari kita sebagai umat Islam pasti terusik, Ramdhan pernah menyaksikan beberapa peristiwa besar dalam sejarah umat Islam yang memastikan Islam terus berada dipuncak.

Medan badar menjadi saksi pertama terhadap perjuangan nabi dan para sahabat dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Semangat dan kekentalan jiwa para sahabat yang mendapat tunjuk ajar dari baginda nabi mengatasi segala keperitan yang ditempuhi merupakan senjata ampuh yang memusnahkan musuh islam sehingga kibaran bendera lailahaillallah ditegakkan. Peristiwa badar memberi pengajaran yang cukup berharga buat kita, keteguhan iman yang jitu disamping semangat ukhuwwah yang tinggi akhirnya memastikan Islam dapat berkembang sampai kehari ini. Tidak dapat dinafikan pertolongan Allah merupakan hikmat yang paling besar terhadap kemenangan Islam di badar, pun begitu pertolongan tidak datang secara tiba-tiba tanpa punya sebab musabab. Sesungguhnya pertolongan Allah muncul kerana kekuatan jiwa umat Islam ketika itu yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi untuk agama Allah.

Semangat yang sama juga terhasil ketika peristiwa FathulMakkah yang turut berlaku dalam bulan Ramadhan sehinggakan kota suci Makkah terus menjadi simbol kekuatan umat Islam sampai ke hari ini.
Tidak kurang hebatnya, peperangan Qadisiyah yang berlaku dalam bulan Ramadhan juga memberi pengajaran yang cukup berharga buat kita. Kekuatan ruhiyah mengatasi segala kekuatan ma`nawiyah sehingga musuh islam kecundang biarpun punya kelengkapan yang begitu hebat di bandingkan kelengkapan persenjataan umat islam.

Lihat pula situasi umat Islam hari ini, serata pelusuk dunia umat Islam terus menerus diinjak tanpa belas kasihan. Lebih menyedihkan umat Islam disepak terajang di negara sendiri. Persoalan yang sering dilontarkan kenapa dan mengapa semua ini berlaku,
Jawapannya mudah, Selagimana paksi kekuatan jiwa yang merangkumi semangat mahu mati kerana Islam, semangat ukhuwwah Islamiyah dan dan semangat keteguhan iman masih gagal ditanam dalam diri setiap individu Islam selagi itulah pertolongan Allah tidak akan datang. Kita berkeyakinan penuh peristiwa badar akan berulang kembali yang akan menyaksikan Islam akan berada di puncak, tetapi syarat yang mesti di penuhi oleh setiap individu muslim ialah memastikan paksi kekuatan jiwa dapat dituai dan ditanam dalam diri masing-masing. Pasti ketika itu pertolongan Allah akan muncul demi memastikan tertegak kebenaran terhapus kebatilan.

Akhirnya, harapan kita semua semoga kemunculan ramadhan al-Mubarak akan memberi suntikan baru kepada kita semua, semangat yang jitu untuk berjuang demi Islam, tenung dan renung sahabat kita di Iraq, Palestin, Pattani serta seluruh dunia yang sentiasa mengharapkan keamanan hidup. Pasti harapan mereka memerlukan pertolongan kita, hulurkan sumbangan kita dalam apa jua bentuk, sekurang-kurangnya tadahkan tangan untuk berdoa kepada Allah mudah mudahan pintu kemenangan Islam dapat dibuka segera mungkin.
Salam Ramadhan

2 Comments:

  • Sdr. Senandung Malam,

    Selamat berkenalan.

    Tulisan sdr. itu menginsafkan.

    Sama-samalah kita menghayati Ramadha dan mendapat keberkatan.

    Terima kasih.

    By Blogger ufukhati, at 6:37 PM  

  • Ramadhan Kareem

    By Blogger syauqah-el-wardah, at 10:02 PM  

Post a Comment

<< Home