Senandung Malam....sila ke blog baru saya...senandungmalam.blogspot.com

Thursday, October 05, 2006

Indahnya Al-quran

2 malam lepas, saya menunaikan solat tarawih di masjid zaid( istilah lebih sesuai dipanggil jami' zaid-salah satu masjid yang terkenal di kota Damsyik ini). Memang saya selalu menunaikan solat di jami' ini. selain dari suasana yang nampak hidup di bulan ramadhan ini, dengan penyertaan dari jamaahnya, suara imam juga cukup mengasyikan ditambah pula dengan sesi tazkirah selepas 8 rakaat menambah lagi minat saya untuk sama-sama menunaikan solat di jami` ini.
Kebiasaannya yang akan memberi tazkirah ringkas ialah Syeikh Sariah Ar-rifaei, ulama' besar Syria yang juga merupakan khatib di jami' Zaid ini. Tapi ramadhan kali ini agak berbeza, pentazkirah selalunya bertukar-tukar, ada kemungkinan keadaan kesihatan Syeikh yang kurang mengizinkan. Tahun ini tazkirah diisi oleh murid-murid setia Syeikh Sariah. tapi 2 malam lepas( 11 ramadhan) sesi tazkirah diisi oleh Dr. Tariq Suwaidan, seorang pendakwah dari Kuwait, yang kebetulan dalam rangka ziarahnya ke Syria. Apa yang ingin saya tulis di sini adalah antara isi penting tazkirah yang disampaikan oleh Dr. Tariq Suwaidan, sebagai tazkirah juga buat kita semua.
Isi penting tazkirah ringkas tersebut adalah berkisar al-quran. beliau menyeru para jamaah khususnya dan umat Islam amnya untuk sama-sama membaca, memahami, menghayati isi al-quran. tambahan pula di bulan yang penuh barakah ini.
Apa yang menarik perhatian saya ialah, bila beliau menyentuh tentang tajuk perbicaraan al-quran. Katanya, setiap karangan atau bahas atau kitab mesti mempunyai tajuk tertentu, begitu juga al-quran yang diturunkan oleh pencipta alam maya ini. Dr. Tariq membahagikan tajuk al-quran kepada lima secara keseluruhannya. Al-quran jika diteliti tidak lari dari membicarakan soal-soal yang berkaitan lima perkara ini. yang pertama ialah, soal Allah s.wt(ketuhanan). yang kedua, pembahagian golongan manusia kepada islam, kafir dan munafik. yang ketiga, persoalan akhirat yang menyentuh kesudahan manusia. Yang keempat, kisah-kisah golongan terdahulu sebagai iktibar dan pengajaran buat kita. Yang kelima, hukum-hakam yang berkaitan kehidupan manusia seharian bermula dari taharah, ibadah, muamalah, nikah kahwin, politik, ekonomi dan semua sistem perjalanan hidup manusia.
Demikian kira-kira pembahagian tajuk al-quran menurut kaca mata Dr.Tariq Suwaidan, yang saya rasa cukup menepati ruh dan makna al-quran itu sendiri. Al-quran diturunkan bukan sekadar kitab sejarah bahkan ia merupakan panduan buat kita semua bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan kejayaan di akhirat. Dengan kita mambaca al-quran dan memahami tajuk-tajuknya pasti akan menambah lagi rasa kagum kita kepada pencipta alam maya ini, maka dari situlah akan lahir rasa ubudiyah secara keseluruhannya.
Marilah sama -sama kita menanam azam untuk kita mengkaji khazanah al-quran seterusnya mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya. Sesungguhnya kejayaan yang akan kita perolehi bilamana kita jadikan al-quran sebagai bahan rujukan kita dalam apa jua tindakan.

2 Comments:

  • sdr.

    Beruntung sdr. berada di Damsyik dan Syria adalah tinggalan jejak-jejak sahabat Rasul.

    Di sini juga tazkirah menyeru ummah menghayati al-Quran. Tazkirah selepas solat Jumaat baru lalu khusus membincangkan Turunnya al-Quran, kewajipan menghayati al-Quran dan keunggulan kandungannya. Satu jam bagai tak puas mendengar kupasan penceramah yang menguasai ilmunya.

    Syabas juga atas kejayaan sdr.
    Wassalam.

    By Blogger ufukhati, at 5:24 PM  

  • Terima kasih di atas komen dari pak darma, rasanya memang beruntung dapat berada di bumi bertuah ini.Banyak khazanah ilmu dan pengalaman yang dapat dikutip di sini.
    Rasanya banyak juga perkara yang boleh menjadi contoh untuk kita laksanakan di Malaysia. Insyaallah saya akan cuba menulis berkenaan Syria selepas ini.

    By Blogger Senandung malam, at 7:42 PM  

Post a Comment

<< Home