Senandung Malam....sila ke blog baru saya...senandungmalam.blogspot.com

Monday, March 09, 2009

Salam pertemuan kembali buat semua pembaca, mungkin juga salam perkenalan untuk anda semua, 2 tahun sebelum ini pernah juga saya mencuba untuk berjinak jinak dengan dunia blog ini. Tapi ternyata cubaan itu menemui kegagalan, blog saya sebelum ini hanya mampu bertahan beberapa bulan akibat terkena virus “malas update”.
Kali ini saya cuba sekali lagi untuk turut sama melibatkan diri dalam dunia blog, dengan satu tujuan, untuk menggunakan medium ini bagi berkongsi maklumat dan ilmu untuk tatapan kita bersama, menyedari banyak isu yang berlegar disekeliling kita menuntut kita untuk menyatakan sesuatu dalam ruang yang cukup luas, maka saya dengan rendah diri berasa perlu untuk berblog semula.
Moga Allah s.w.t memberikan kekuatan kepada saya untuk berlari laju seperti blogger blogger lain.
Sekali lagi, salam perkenalan dan ukhuwah…..

Friday, December 01, 2006

3 Perkara......

Pertamanya terima kasih untuk Hakim kerana memilih saya untuk menerusakan TAG ini. Maaf kerana agak terlewat dalam menyiapkan tulisan ini.Maaf juga kalau tak berapa sempurna.

3 Perkara yang saya akan lakukan sekiranya menjadi jutawan.
  • Membina 9 buah rumah kediaman sederhana untuk semua adik-beradik saya.
  • Menyumbang untuk gerak-kerja Badan-badan politik dan NGO Islam.
  • Membina Pusat Tamadun Ilmu, untuk menghimpunkan pemikir-pemikir Islam

3 Tabiat buruk.

  • Sukar mengakui kesilapan diri.
  • Sukar untuk mula berbicara dengan orang yang tak di kenali.
  • Suka untuk menangguh kerja.

3 Perkara yang saya tak suka melakukannya.

  • Membantu orang yang berlagak pandai.
  • Duduk dalam kumpulan yang bersembang tetapi topik tidak menarik.
  • Menunggu orang membaca akhbar untuk sampai ke giliran kita.

3 Perkara yang minta simpang dariNya.

  • Menyekutukan Allah.
  • Ingkar dan derhaka kepada Ibu.
  • Cenderung hati kepada pemerintah yang zalim(tidak berlandaskan Islam).

3 Permata Hati Saya.

  • Ibu tercinta.
  • Abang-abang dan Kakak-kakak serta anak-anak saudara.
  • Kawan-kawan.

3 Tokoh Politik Paling dikagumi dan sebabnya.

  • Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Berjaya menampilkan ciri-ciri pemimpin adil, mewarisi kepiminan Umar Abdul Aziz.
  • Allahyarham Dato' haji Fadzil Mohd Nor, Bijak membaca percaturan politik sehingga digeruni lawan dan dikagumi kawan.
  • Tun Dr. Mahathir Mohd, Pintar dan licik dalam berpolitik.

3 Negara yang paling menarik pernah dilawati.

  • Thailand, menarik sebab bermula dari Yala sehingga ke Chiang rai dapat berjumpa dengan berbagai-bagai golongan.
  • Makkah dan Madinah, tenang sekali bila menjejak kaki ke bumi bertuah ini.
  • Syria, seolah-olah bumi kedua bagi saya selepas Malaysia.

3 Saat paling bermakna.

  • 16 Syaaban 1403.
  • 1 September 2004
  • Masih mencari tarikh........

3 perkara tentang diri saya.

  • Bercermin mata.
  • Sukan kegemaran ialah Bola Sepak.
  • Badan yang memang kurus dari dulu dan tak pernah naik-naik.

3 Topik yang menarik untuk berborak.

  • Politik.
  • Sukan
  • Agama.

Monday, November 13, 2006

Beza antara 2

Berikut beberapa perbezaan yang sempat saya nukilkan antara kehidupan di Syria dan Malaysia:
- Di Syria, berjalan sekitar jam 3 pagi tanpa ada rasa takut kalau-kalau ada perompak. Saya sendiri selalu berjalan sekitar waktu ini balik dari rumah kawan-kawan atau rumah persatuan.
- Di Malaysia, berjalan sekitar jam 1 tengahari di jalan masjid india sambil menggalas beg, tentu ada sedikit rasa gelisah dan berjaga-jaga, kalau-kalau ada peragut.
- Di Syria, tidur di rumah sahabat saya yang betul-betul berjiran dengan kubur, langsung tak ada rasa seram menjelma, siap buka pintu dan tidur di sebelah kubur.
-Di Malaysia,perjalanan pulang dari Bandar darul aman ke rumah saya melalui kawasan perkuburan, dengan menaiki motosikal, tiba-tiba terasa seram. Tak tahu kenapa.
-Di Syria, masuk restoren untuk sarapan pagi, tak tahu apa yang nak dipesan, menu terlalu terhad.
-Di Malaysia, masuk restoren, tak tahu apa yang nak dipesan lantaran menu yang berlambak.
-Di Syria, pemandu di jalanraya cukup "lok laq", tapi sangat jarang berlaku kemalangan.
-Di Malaysia, pemandu berjiwa cermat, berhati-hati, rasa-rasanya seganas-ganas pemandu malaysia itulah paling cermat pemandu arab, tapi jumlah kemalangan setiap hari bertambah.
-Di Syria, naik bas dari Damsyik ke Halab(sekitar 450 km), tambang hanya sekitar rm 9. Murah mungkin sebab sepanjang lebuhraya langsung tiada pengutip wang(tol).
-Di Malaysia, bas dari Alor Setar ke Kuala Lumpur, tambang sekitar rm 30. Mahal mungkin terlalu banyak pengutip wang sepanjang perjalanan.
- Di Syria, keluar rumah seawal 7 pagi, suasana pasti sunyi, masyarakat arab akan menggunakan waktu pagi untuk proses "tahi mata".
-Di Malaysia, jam 7 pagi jalan dah mula sesak, rakyat Malaysia memahami keberkatan waktu pagi untuk membuka pintu rezeki.
Demikian sebahagian catatan perbezaan antara 2 negara yang sempat saya nukilkan. Insyaallah di lain kesempatan saya akan sambung lagi perbezaan ini.

Friday, November 03, 2006

Selamat Pengantin Baru

Selamat pengantin baru buat sahabat saya, Ahmad Solahuddin Ab.Razak dengan pasangannya Masturah Harisin Sabry yang selamat diijab kabulkan pada 4 Syawal 1427 bersamaan 27 Oktober 2006 di kota Damsyik, Syria.
Juga selamat pengantin baru buat tuan guru saya, al-fadhil Samahatus-syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki dengan pasangannya Abidah Ahmad Khairani yang selamat diijab kabulkan pada 10 Syawal 1427 bersamaan 2 November 2006 di masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak Darul Rizwan.
Semoga kedua-dua pasangan terus diberi kerahmatan Allah S.W.T amin ya Rabb.

Friday, October 27, 2006

Catatan

Salam.........
Rasa agak lama saya tak sempat mengemaskini blog ini, kesuntukan masa agak membataskan pergerakan saya. berikut di bawah catatan ringkas perjalanan saya pulang dari Syria ke Malaysia lebih kurang 2 minggu lalu sehingga ke hari raya baru-baru ini.
15 Oktober
10.30 pg( waktu Syria): Saya mula bergerak meninggalkan kawasan kediaman saya, Sinaah, Damsyik. Bersama dengan beberapa teman kami menaiki teksi menuju ke lapangan terbang antarabangsa Damsyik. Syria seolah-olah menangisi kepulangan saya, hujan renyai-renyai mula turun sejak jam 9.30 pagi lagi.
11.15 pg hingga 12.00 tgh: sempat meluangkan masa untuk berborak bersama teman-teman, rasa hiba mula menerpa kedalam diri bila masa semakin hampir nak meninggalkan teman-teman. Masakan tidak 4 tahun bersama bukan satu masa pendek, susah senang bersama, kini sampai waktu nak berpisah.
12.10 tgh: Bergerak masuk ke kuanter chek-in, alhamdulillah walaupun bagasi saya melebihi had, petugas di kuanter tidak berkata apa-apa. Selamat duit, kalau tidak mesti kena bayar sebab lebih kilo yang dibenarkan.
1.45 tgh: Penerbangan Gulf Air 208 bergerak meninggalkan Lapangan terbang antarabangsa Damsyik menuju ke Bahrain. Penerbangan mengambil masa 4 jam.
5.45 ptg( waktu Bahrain): Penerbangan selamat mendarat,ketika saya keluar menuju ke tempat transit, waktu berbuka bagi negara Bahrain pun masuk.Selesai berbuka ala kadar terus menunaikan solat di surau yang disediakan.
6 ptg hingga 10 mlm: Waktu panjang yang cukup menjemukan, tidak banyak aktiviti yang dapat dilakukan, sekadar meronda seluruh kawasan transit airport Bahrain. Ada tersempak juga 2-3 orang malaysia, tapi masing-masing takut nak bertegur.
11.00 mlm: Penerbangan Gulf Air 902 bergerak meninggalkan Bahrain menuju ke KLIA, pesawat akan mendarat seketika di Oman, demikian menurut kapten kapal. Penumpang dalam perut kapal hanya sekitar 80 orang. Sepanjang perjalanan tidak ada apa yang menarik nak dibuat, nak membaca langsung tak ada mood, hanya tidur dan sempat juga berborak bersama seorang teman dari Sudan yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
16 Oktober
1.05 tgh(waktu Malaysia): Pesawat selamat mendarat di KLIA, dalam cuaca yang berjerebu,dalam perjalanan keluar menuju ke tempat pengambilan bagasi, sempat bertegur sapa dengan seorang teman dari Kulala Lumpur yang belajar di Mesir, kebetulan satu penerbangan bersama saya,lama juga bersembang sehingga terpisah bila masing-masing mengambil bagasi, baru saya sedar rupa-rupanya kami langsung tak bertanya nama walaupun bermacam-macam topik dah kami sembang.Selesai mengambil bagasi dan melepasi kuanter kastam,saya terus ke kuanter tiket MAS untuk confirm kan tiket saya ke Alor Setar.
2 ptg hingga 6.30ptg: Sekali lagi waktu panjang yang cukup menjemukan, habis tigkat KLIA saya ronda. Dari tingkat 3 ke 5, turun ke 4 begitulah seterusnya. Saya chek-in awal , kali ini tak lepas sebab barang lebih, perlu bayar, selepas berbincang dengan petugas di kuanter saya dikehendaki membayar Rm 40. Sempat juga telefon abang, maklumkan yang saya akan sampai di Alor Setar jam 8 45 mlm.
7.01 mlm: Waktu maghrib bagi Kuala Lumpur masuk, hanya meneguk air mineral sabagai syarat berbuka puasa. Terus menuju ke perut kapal.
7.45 mlm: Penerbangan bergerak menuju ke Alor Setar. Mengambil masa 50 minit.
8.35 mlm: Pesawat MAS mendarat di lapangan terbang Sultan Abdul Halim, Kepala batas(baru) dalam cuaca hujan lebat. Agak lama di kuanter mengambil bagasi. Terus keluar dan berjumpa mak, abang2 dan kakak2 yang sudah menunggu, turut sekali anak-anak saudara, ada yang saya kenal dan ada juga yang tak kenal( sepanjang 4 tahun saya di Syria, ada 10 anak saudara yang tak pernah saya bertemu). Terus pulang ke rumah, bersembang dengan ahli keluarga. Alhamdulillah setelah 4 tahun 2 bulan meninggalkan bumi bertuah ini, kini saya kembali.
17-23 Oktober
Hanya berjalan kawasan sekitar, Hujan lebat setiap hari membataskan pergerakan, amaran banjir mula kedengaran, saya dan mak serta abang bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir. Masa diisi dengan melayan karenah anak-anak saudara.Mlm 17 Oktober, sempat mengikuti program Ihya` ramadhan DUN anak bukit bersama YB. Amiruddin Hamzah, Adun Anak bukit, di masjid kg. mergong. Diminta memberi tazkirah pendek.
19 Oktober
Mak adakan kenduri khatam al-Quran, seluruh ahli keluarga berhimpun. 5 abang dan 5 kakak ipar serta 3 kakak dan 3 abang ipar. Penuh rumah dengan kehadiran 39 orang anak saudara, yang tak hadir cuma 2, Fathullah dan Huzaifah.
23 Oktober
Hari raya aidilfitri, Saya menunaikan solat sunat hari raya di surang kubang perengas, kuala Kedah, jadi imam dan berkhutbah. Tengahari ziarah ke rumah YB. Amiruddin kemudian ke rumah mak lang, paktam dan ngah di changlon.
Maaf kalau catatan ini ada kekurangan, sekadar nak berkongsi kehidupan saya bersama semua teman-teman.

Monday, October 09, 2006

Ramadhan-antara dua hakikat

Salam semua...
Hari ini 16 ramadhan , saya sempat berbuka puasa di jami' bab musalla kabir, memang setiap isnin ada majlis berbuka puasa. Buka macam biasa saja, dengan hidangan gandum -yang di panggil burghul- goreng(lebih kurang mcm nasi goreng), ada juga nasi minyak dan laban(susu masam).
Sempat solat isyak dan terawih di jami' badr yang terletak di kawasan muhajirin. Kali pertama untuk ramadhan tahun ini saya menunaikan solat di jami' badr. Imam yang mengimamkan solat ialah Syeikh Mahir Shakhashiro, seorang tenaga pengajar di maahad fatah Islamy.Suaranya cukup merdu. Rentak lagu yang dibawanya dalam solat cukup sukar untuk diikut. Makmum yang mengikut pasti akan khusyuk dengan bacaannya, bila sampai ayat yang menceritakan nikmat syurga lagunya mendayu, bila sampai pula ayat yang menceritakan azab neraka suaranya menjadi serak pula. begitulah seterusnya. Syeikh Mahir pada perkiraan saya tidak mengjangkau 40 tahun lagi, mungkin sekitar lewat 30-an.
Saya dan seorang lagi kawan, Nasbir, hanya sempat menunaikan 8 rakaat terawih. kami sama-sama keluar dan meninggalkan Jami' Badr. dalam perjalanan pulang, oleh kerana jami' ini terletak di penempatan elit, kami melalui beberapa restoren mewah. kelihatan bayak pasangan muda-mudi arab sedang asyik memadu asmara, yang perempuannya jangan di tanya, seksi habis. kopiah yang ada di atas kepala pun macam nak melayang bila tengok aksi mereka. Jangan kata arab semua hormati bulan ramaadhan , rupanya masih banyak lagi mereka yang langsung tak menghormati bulan barakah ini. Kadang-kadang ada juga terlintas dalam hati mengatakan mereka yang berkelakuan tak senonoh tu bukan beragama Islam, tapi pelik juga, ada yang berpakaian seksi, tapi tudung tetap atas kepala, sudah tentu agamanya adalah Islam.Saya meninggalkan kawasan muhajirin dengan menaiki servis(van) untuk balik ke rumah, tiba-tiba teringat senikata lagu yang pernah didendangkan oleh kumpulan The Zikr. Rangkapnya kira-kira begini, ramadhan, peluangnya sama natijah berbeza....itulah ramadhan antara dua golongan. ada yang cemerlang dalam madrasahnya, ada juga yang terus gagal dan tiada usaha untuk berjaya dalamnya.

Tarbiah dan Dakwah: Menurut perspektif dan manhaj ulama Syam

Oleh: Mohd Shahrul b. Abd Razak

Maulana Abul Hasan Ali an Nadwi Rahimahullah, seorang tokoh ulama terkemuka dari India pernah menukilkan dalam sebuah karyanya yang agung tentang kepentingan dunia arab dalam peta politik dunia. Antaranya, beliau menyebut bahawa “keimanan” merupakan asas utama kepada kekuatan dunia Arab. “Keimanan” juga merupakan senjata utama dunia Arab sekarang, sepertimana ia juga merupakan senjata utama kepada peradaban dunia Arab pada hari kelmarin. Dunia Arab tidak akan mampu untuk menghadapi gerakan Zionis, Komunis mahupun musuh-musuh yang lain dengan sumber harta yang diperolehi dari Britain, apa yang disumbangkan oleh Amerika ataupun Rusia, atau apa yang didapati hasil dari emas hitam (industri minyak dan petroleum). Hanya dengan kekuatan yang bertunjangkan “keimanan”, dunia Arab akan dapat menghadapi musuh-musuhnya sepertimana kekuatan yang sama digunakan dalam menghadapi kekuatan Rom dan Parsi pada suatu masa dahulu.(Madha Khasira al A’lam bi Inhitat al Muslimin)
Justeru, tidak hairanlah, saban detik dan waktu para ulama Syam menyeru masyarakat tentang peri pentingnya kembali kepada Allah S.W.T dan rasul Nya S.A.W dalam setiap perkara. Untuk membentuk sebuah masyarakat yang ideal, yang mempunyai keimanan yang tinggi kepada Allah S.W.T, memerlukan usaha gigih dan kerja kuat dari seluruh ahli ilmu dan pendakwah kepada jalan Nya.
Jika dilihat dari konteks sebuah negara dari dunia Arab, iaitu Syria. Kita melihat bahawa, para ulama mereka punya kurikulum tarbiah dan dakwah yang cukup baik untuk dilaksanakan di tanah air kita Malaysia. Semuanya itu diusahakan mereka, demi semata-mata untuk melihat kekuatan “keimanan” kembali mekar dan segar dalam jiwa masyarakat, supaya segala anasir-anasir musuh untuk menghapuskan Islam dapat diatasi. Benarlah sabda baginda S.A.W, daripada Sayidina A’li RA, maksudnya “Para ulama itu merupakan cahaya kepada bumi, dan merupakan khalifah kepada para nabi.” Hadis riwayat Ibn A’di di dalam al Kamil (Al Fathul Kabir).
Penulis akan membawakan beberapa contoh, kurikulum tarbiah dan dakwah yang telah dimainkan para ulama Syam dalam membentuk masyarakat:

1. Membina pusat-pusat pengajian Islam (maahad-maahad syarie) yang diasaskan di bawah sebuah yayasan. Seterusnya menawarkan kelas-kelas pengajian percuma kepada para pelajar. Kos operasi maahad dibiayai oleh dana-dana yang dikumpul dari sumber-sumber kewangan yang disumbangkan oleh para dermawan yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan daripada masyarakat sendiri. Sebagai contoh: Jam’iyyatul Fathil Islami yang diasaskan oleh al Murabbi al Kabir as Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri Rahimahullah (Umar b. Syeikh Muwaffaq an Nashuqati, As Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri, Hayatuhu al I’lmiyyah, Nahdhotuhu, Atharuhu) dan Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro yang diasaskan pembinaannya oleh al Murabbi al Kabir as Syeikh Ahmad Kiftaro Rahimahullah. As Syeikh Said Hawwa Rahimahullah berpendapat bahawa, pendidikan agama di sekolah-sekolah merupakan wasilah terpenting dalam memberikan pendidikan tentang agama Islam. (Said Hawwa, Jundullah: Thaqafatan wa Akhlaqan)

2. Memakmurkan sepenuhnya institusi masjid dengan kegiatan-kegiatan ibadah dan keilmuan:
• Mengadakan pengajian-pengajian ilmu secara umum dan khusus.
• Menggunakan mimbar Jumaat untuk menyampaikan nasihat dan peringatan kepada masyarakat dengan khutbah-khutbah yang bermutu dan bertenaga.
• Menggunakan mimbar Jumaat untuk menyeru masyarakat menyumbangkan wang dan harta mereka untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.
• Mendoakan pimpinan utama negara supaya diberikan taufiq dan hidayah, seterusnya melaksanakan apa yang diperintahkan Allah S.W.T dan rasul Nya S.A.W
• Menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu pesta ibadah dengan menjadikan masjid sebagai tempat tumpuan pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan.

Sebagai contoh: Jami’ Zaid b. Thabit yang terletak di Fahhamah. Masjid yang dipimpin oleh as Syeikh Sariyah ar Rifa’ei ini telah berjaya memakmurkan institusi masjid mereka dengan kegiatan-kegiatan ibadah, keilmuan, sambutan-sambutan penting dalam sejarah Islam dan projek-projek perniagaan. Mereka mengusahakan perniagaan perabot, farmasi perubatan, pusat pakaian pengantin, pusat jualan mushaf, kitab, buku, cd dan kaset-kaset keislaman. Mereka juga mengadakan konsultan kebajikan untuk membantu para fakir dan miskin.

Para ulama Syam menjadikan masjid sebagai lokasi utama mereka menyumbangkan kepakaran ilmu dalam memberikan pendidikan dan berdakwah kepada masyarakat. Ini merupakan satu pendidikan efektif yang pernah diusahakan baginda S.A.W dalam membentuk para sahabatnya. Masjid merupakan pusat pengajian pertama dalam sejarah ketamadunan Islam.
“Madrasah al Muhammadiyah” yang bertempat di Masjid Nabawi telah berjaya melahirkan graduan-graduan yang berjaya meletakkan Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi darinya. (as Sirah an Nabawiyyah, Dr. Musthofa as Siba’ei)
Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya proses perkembangan Islam mengalami detik-detik kemajuan dan kemunduran, di antara petanda kemajuan agama ini, segenap lapisan masyarakat berlumba-lumba untuk mendalaminya. Sebaliknya, apabila ilmu Islam ini hanya dipelajari oleh sebilangan kecil masyarakat, ia merupakan petanda kemunduran agama ini." Hadis riwayat Thobarani, Ibnu Sunni, Abu Nua'im dan hadis ini dhoif di sisi al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani.
Penulis melihat bahawa kurikulum tarbiah dan dakwah yang dilaksanakan oleh para ulama Syam bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh as Syeikh Said Hawwa Rahimahullah tentang lima konsep jihad: 1. Jihad Lisani 2. Jihad Ta’limi 3. Jihad bil Yadi wan Nafs 4. Jihad Siyasi 5. Jihadul Mal. (Said Hawwa, Jundullah: Thaqafatan wa Akhlaqan).
Para ulama Syam mendahulukan Jihad Lisani, Jihad Ta’limi dan Jihadul Mal. Mereka melihat tiga jihad tersebut sebagai sesuatu yang patut diutamakan dari jihad-jihad yang lain. As Syeikh Said Hawwa Rahimahullah dalam pesanannya menyebut “Ketika mana menyampaikan kerja-kerja dakwah dan tarbiah, hendaklah mendahulukan yang lebih penting dari yang penting, mulakan dengan akidah sebelum ibadah, kemudian ibadah sebelum kurikulum-kurikulum kehidupan, dengan kulliyat sebelum juziyyat, dan dengan yang dekat sebelum yang jauh.” Daripada Ibnu Abbas RA, bahawasanya Rasulullah S.A.W ketika mana mengutuskan Sayidina Muadz RA ke Yaman telah berpesan, maksudnya “Sesungguhnya kamu akan berhadapan dengan satu kaum dari kalangan ahli kitab, dan jadikan perkara pertama yang kamu seru ialah beribadah kepada Allah S.W.T, maka apabila mereka telah mengetahui, sampaikan kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah mewajibkan solat lima waktu ke atas mereka pada waktu siang dan malam mereka. Apabila mereka telah lakukannya, sampaikan kepada mereka bahawa Allah S.W.T telah mewajibkan zakat yang diambil dari harta mereka untuk dikongsi bersama fakir miskin di kalangan mereka. Apabila mereka telah mentaatinya, maka ambillah harta mereka untuk dijadikan zakat, peliharalah kemuliaan dan kemurnian harta mereka, hendaklah kamu takuti akan doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tidak ada hijab di antara Allah S.W.T dan doa orang yang dizalimi tersebut.” Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim. Antara wasilah Jihad Lisani ialah:
1. Menyebarkan kitab-kitab agama. 2. Majalah, surat khabar dan artikel-artikel Islam. 3. Ucapan, syarahan dan pengajian umum di masjid-masjid dan rumah.
4. Dakwah secara individu, program ziarah, rehlah dan kumpulan-kumpulan diskusi. (Said Hawwa, Jundullah: Thaqafatan wa Akhlaqan).
As Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri Rahimahullah telah menggariskan dua perkara penting dan mengutamakan Jihad Lisani dan Jihad Ta’limi dari jihad-jihad yang lain. Dua perkara tersebut ialah 1. Nasihat yang ikhlas kepada para pemimpin, ia patut disampaikan dengan penuh bijaksana dan berhikmah. Berkata as Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri “Sesungguhnya Allah Taala telah mewajibkan kepada para ulama untuk memberikan nasihat dan peringatan kepada para umara’, bukannya melahirkan tanda setia kepada mereka demi semata-mata untuk mendapatkan habuan dunia dan harta.” 2. Bekerja sepenuhnya untuk menyebarkan ilmu Islam yang sebenarnya. Kerana dengan pemahaman Islam yang sebenar dan menyeluruh akan dapat menghilang dan menghapuskan kerosakan dan kejahilan. Maka akan aman dan sejahtera sesebuah Negara, para pemimpinnya dan rakyat jelata. (Umar b. Syeikh Muwaffaq an Nashuqati, As Syeikh Muhammad Soleh al Farfuri, Hayatuhu al I’lmiyyah, Nahdhotuhu, Atharuhu)
Antara wasilah yang digunakan dalam Jihad Ta’limi ialah 1. Membuka kursus-kursus keilmuan. 2. Halaqah pengajian di rumah atau di masjid. 3. Program rehlah yang berkonsepkan ilmu, dakwah dan kerja.
Ukuran kejayaan kepada Jihad Ta’limi ialah kemampuan kita untuk memberikan thaqafah Islamiyyah yang sempurna dan pendidikan Islam yang sebenar, sejahtera dan sempurna sifatnya kepada seluruh masyarakat.
Perbezaan di antara Jihad Lisani dan Jihad Ta’limi ialah, Jihad Lisani: Mengguna dan mengorbankan seluruh tenaga dengan lisan yang terdiri dari ucapan, syarahan dan tulisan untuk melawan segala bentuk penyelewengan untuk mengembalikan masyarakat kepada ajaran Islam yang sebenar. Manakala Jihad Ta’limi pula ialah: Mengguna dan mengorbankan seluruh tenaga untuk memberikan pendidikan, pengajaran, dakwah dan thaqafah kepada mereka yang telah menerima agama Islam. Jika diamati, kadang-kadang seolah-olah wujud persamaan di antara Jihad Lisani dan Jihad Ta’limi, tetapi sebenarnya ia tetap mempunyai perbezaan. (Said Hawwa, Jundullah: Thaqafatan wa Akhlaqan).

Sesuatu yang amat berharga, para ulama besar yang mempunyai kepakaran ilmu yang cukup mendalam turut serta untuk mengepalai masyarakat dalam memakmurkan masjid. Sebagai contoh: As Syeikh Usamah ar Rifa’ei di Masjid ar Rifa’ei, as Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan al Bouti di Masjid Mulla Ramadhan dan Masjid al Iman, as Syeikh Dr Wahbah az Zuhaili di Masjid Uthman al Kuwaiti, dan ramai lagi para ulama yang mempunyai kelulusan dan kepakaran yang cukup hebat yang turut serta dalam memakmurkan institusi masjid.
Fenomena ini adalah sesuatu yang jarang kita temui di tanah air. Para cendiakawan Islam hanya memperuntukkan waktu mereka menyumbangkan ilmu di bilik-bilik kuliah di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi sahaja, mereka hanya menyampaikan teori tetapi tidak pada praktikalnya. Walaupun penulis tidak menafikan, wujudnya para pensyarah Institusi Pengajian Tinggi di tanah air yang sanggup turun padang membantu masyarakat dengan mengadakan kelas-kelas pengajian ilmu di masjid-masjid.
Para ulama Syam juga berjaya membentuk masyarakat mereka dengan pentingnya seorang “Tholib I’lm” (penuntut ilmu), sehingga masyarakat tidak lokek untuk memberikan bantuan kepada penuntut ilmu.
Lebih membanggakan lagi, didapati wujud di kalangan ulama Syam yang mempunyai syarikat-syarikat perniagaan sendiri. Ini merupakan sesuatu yang amat baik dalam proses mereka menyebarkan ilmu, kerana mereka tidak bergantung kepada sesiapa, malahan ada di kalangan mereka sendiri yang membantu masyarakat dan penuntut-penuntut ilmu.
Berpersonaliti menarik dengan mementingkan kekemasan berpakaian ketika berdepan dengan masyarakat dan penuntut ilmu, serta diiringi dengan sifat tawadhu’ yang cukup tinggi sudah cukup untuk menarik masyarakat menerima mereka.
Kesimpulannya, artikel ini merupakan satu catatan ringkas mengenai kurikulum tarbiah dan dakwah yang dilaksanakan oleh para ulama Syam dalam membentuk masyarakat. Ia ditulis hasil bantuan teman-teman seperjuangan dan berdasarkan pengalaman serta pengamatan penulis sepanjang berada di bumi yang penuh dengan keberkatan ini.


*Tulisan ini dihasilkan oleh sahabat saya, Mohd Shahrul Abd.Razak, sekarang berada di tahun 3 kuliah syariah, Jamiah Fatah Islamy. Artikel ini pernah disiarkan di majalah Itqan, terbitan Persatuan Pelajar Malaysia Syria. Saya telah mendapat kebenaran dari pihak penerbit untuk menyiarkan di sini buat tatapan semua pembaca. Mudah-mudahan beroleh manfaat.-senandung malam

Thursday, October 05, 2006

Indahnya Al-quran

2 malam lepas, saya menunaikan solat tarawih di masjid zaid( istilah lebih sesuai dipanggil jami' zaid-salah satu masjid yang terkenal di kota Damsyik ini). Memang saya selalu menunaikan solat di jami' ini. selain dari suasana yang nampak hidup di bulan ramadhan ini, dengan penyertaan dari jamaahnya, suara imam juga cukup mengasyikan ditambah pula dengan sesi tazkirah selepas 8 rakaat menambah lagi minat saya untuk sama-sama menunaikan solat di jami` ini.
Kebiasaannya yang akan memberi tazkirah ringkas ialah Syeikh Sariah Ar-rifaei, ulama' besar Syria yang juga merupakan khatib di jami' Zaid ini. Tapi ramadhan kali ini agak berbeza, pentazkirah selalunya bertukar-tukar, ada kemungkinan keadaan kesihatan Syeikh yang kurang mengizinkan. Tahun ini tazkirah diisi oleh murid-murid setia Syeikh Sariah. tapi 2 malam lepas( 11 ramadhan) sesi tazkirah diisi oleh Dr. Tariq Suwaidan, seorang pendakwah dari Kuwait, yang kebetulan dalam rangka ziarahnya ke Syria. Apa yang ingin saya tulis di sini adalah antara isi penting tazkirah yang disampaikan oleh Dr. Tariq Suwaidan, sebagai tazkirah juga buat kita semua.
Isi penting tazkirah ringkas tersebut adalah berkisar al-quran. beliau menyeru para jamaah khususnya dan umat Islam amnya untuk sama-sama membaca, memahami, menghayati isi al-quran. tambahan pula di bulan yang penuh barakah ini.
Apa yang menarik perhatian saya ialah, bila beliau menyentuh tentang tajuk perbicaraan al-quran. Katanya, setiap karangan atau bahas atau kitab mesti mempunyai tajuk tertentu, begitu juga al-quran yang diturunkan oleh pencipta alam maya ini. Dr. Tariq membahagikan tajuk al-quran kepada lima secara keseluruhannya. Al-quran jika diteliti tidak lari dari membicarakan soal-soal yang berkaitan lima perkara ini. yang pertama ialah, soal Allah s.wt(ketuhanan). yang kedua, pembahagian golongan manusia kepada islam, kafir dan munafik. yang ketiga, persoalan akhirat yang menyentuh kesudahan manusia. Yang keempat, kisah-kisah golongan terdahulu sebagai iktibar dan pengajaran buat kita. Yang kelima, hukum-hakam yang berkaitan kehidupan manusia seharian bermula dari taharah, ibadah, muamalah, nikah kahwin, politik, ekonomi dan semua sistem perjalanan hidup manusia.
Demikian kira-kira pembahagian tajuk al-quran menurut kaca mata Dr.Tariq Suwaidan, yang saya rasa cukup menepati ruh dan makna al-quran itu sendiri. Al-quran diturunkan bukan sekadar kitab sejarah bahkan ia merupakan panduan buat kita semua bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan kejayaan di akhirat. Dengan kita mambaca al-quran dan memahami tajuk-tajuknya pasti akan menambah lagi rasa kagum kita kepada pencipta alam maya ini, maka dari situlah akan lahir rasa ubudiyah secara keseluruhannya.
Marilah sama -sama kita menanam azam untuk kita mengkaji khazanah al-quran seterusnya mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya. Sesungguhnya kejayaan yang akan kita perolehi bilamana kita jadikan al-quran sebagai bahan rujukan kita dalam apa jua tindakan.